Pairin kemuka usul singkir SAPP
Tony Thien | Jun 25, 08 3:44pm
Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Joseph Pairin Kitingan telah membuat usul untuk menyingkirkan Parti Progresif Sabah (SAPP) dari Barisan Nasional (BN) dalam mesyuarat jawatankuasa pengurusan BN semalam.
Usul Pairin (foto) itu disokong oleh VK Liew, presiden sebuah lagi parti komponen BN Sabah, Parti Liberal Demokratik (LDP), demikian menurut satu sumber BN.
Timbalan Perdana Menteri, yang juga ketua wip BN, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang mempengerusikan mesyuarat tersebut, memberitahu pemberita semalam bahawa tindakan akan diambil terhadap SAPP kerana keputusan mereka untuk menyokong undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Pemerhati politik bagaimanapun berkata, SAPP mungkin diberi surat tunjuk sebab, sebelum disingkirkan dari BN. Parti itu diketuai oleh bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Yong Teck Lee, 54.
SAPP mempunyai dua ahli Parlimen dan empat ahli dewan undangan negeri (Adun), termasuk Timbalan Ketua Menteri Sabah (Timbalan Presiden, Datuk Raymond Tan) dan seorang menteri muda (Ketua Wanita, Melanie Chia).
Malaysiakini juga difahamkan bahawa sebuah lagi parti komponen BN, Pertubuhan Bersatu Pasokmomogun Kadazandusun Murut (Upko), tidak hadir dalam mesyuarat tersebut.
"Hanya PBS, PBRS dan LDP menghadirinya," kata sumber tersebut. PBRS atau Parti Bersatu Rakyat Sabah, diketuai oleh Datuk Joseph Kurup.
Sementara itu, Setiausaha Agung SAPP, Richard Yong memberitahu Malaysiakini bahawa beliau tidak terkejut jika PBS dan LDP mahu SAPP disingkirkan.
Katanya, PBS akan mendapat empat kerusi kosong - kerusi pilihanraya dan jawatan dalam kabinet.
Mengenai ancaman ugutan terhadap dua ahli Parlimen SAPP - Datuk Eric Majimbun (Sepanggar) dan Datuk Dr Chua Soi Bui (Tawau) - ekoran tindakan parti itu untuk menyokong undi tidak percaya tersebut, Richard berkata kedua-duanya belum membuat laporan polis.
"Mereka menunggu masa yang sesuai untuk berbuat demikian," katanya.
Beliau juga berkata, presiden SAPP belum bertemu dengan pegawai kanan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dari Kuala Lumpur untuk memberi kenyataan berhubung dakwaan rasuah membabit RM5 juta, terhadapnya.
Ibupejabat parti itu menghubungi pejabat BPR semalam tetapi ia ditangguhkan atas beberapa sebab, dan mengikut Richard, pertemuan itu mungkin diadakan hari ini atau esok.
"Yong ada di Kota Kinabalu," katanya.
Wednesday, June 25, 2008
Subscribe to:
Posts (Atom)